Sunday, December 21, 2008

Kenali Ulama

Ramai dikalangan penuntut ilmu yang mendapat maklumat kurang tepat mengenai Syeikh Ibnu Al-'Arabiy atau juga dikenali sebagai Syeikh Ibnu 'Arabiy (tanpa alif lam ta'rif AL), ini berlaku kerana permulaan bacaan dan maklumat mereka mengenai Syeikh tersebut diambil dari penulisan yang dibacaa sekerat-sekerat tanpa kajian yang mendalam terutama yang memfitnah Syeikh Ibnu Al-'Arabiy sebagai berakidah HULUL dan ITTIHAD sedangkan Syeikh Ibnu Al-Arabiy tersangat jauh dari akidah tersebut.

Maklumat ringkas mengenai Syeikhul Akbar Sufi Muyhiddin Ibnu Al-'Arabiy:

Beliau adalah Syeikhul Akbar Muhyuddin Ibnu Al-'Arabiy Muhammad bin 'Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Al-Hatimiy At-Toiy dari keturunan Abdullah bin Hatim saudara kandung kepada sahabat Nabi 'Udaiy bin Hatim.
Digelar sebagai Muhyiddin dan diberi kunyah sebagai Abu Abdillah dan juga Abu Bakar. Dikenali dengan Al-Hatimiy, At-Toiy dan juga dikenali sebagai Ibnu 'Arabiy (tanpa alim lam ta'rif AL) dan di Maghribiy beliau terkenal dengan kunyah Ibnu Al-'Arabiy(dengan alim lam ta'rif AL). Terkenal juga dengan panggilan Sultan 'Arifin dan Imam Muttaqin dan sebagainya dari gelaran yang sememangnya layak untuk beliau setelah pengkaji meneliti hakikat beliau sebenar.
Dilahirkan pada malam Isnin 17 Ramadhan tahun 560H di Andalusia. Meninggal pada tahun 638H Rahimahullah.


IBNU 'ARABIY KE IBNU AL-'ARABIY?
Kekeliruan pada gelaran beliau juga berlaku dan ini turut menunjukkan beberapa isi kandungan kitab karangan beliau juga tidak terlepas dari tokok-tambah dusta dan nista dari golongan Musyabbihah Mujassimah yg mahukan fitnah berterus terhadap umat Islam.

Gelaran atau kunyah untuk beliau setepatnya adalah IBNU AL-'ARABIY
( ابن العربي ) iaitu dengan alif lam ta'rif, apabila ditulis terdapat AL pada permulaan perkataan 'ARABIY menjadikan ejaan Al-'ARABIY atau apabila disebut secara sambung (wasal) menjadi IBNUL 'ARABIY. Ini kerana beliau sejak kecil lagi sudah terkenal dengan gelaran sedemikian ditambah pula kebanyakan bapa saudara beliau dan datuk-datuk beliau turut digelar sebagai AL-'ARABIY. Begitu juga kitab-kitab karangan beliau sendiri menulis nama sebagai IBNU AL-'ARABIY.

Ya, sememangnya disana ada seorang lagi ulama yang juga digelar sebagai IBNU AL-'ARABIY iaitu Al-Qodhi Muhammad bin Abdullah IBNU AL-'ARABIY Al-Ma'firiy Al-Malikiy lahir pada 468H pengarang kitab Qonun Ta'wil tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk mengelarkan yang lain sebagai nama tersebut. Dalam Artikel ini hanya menceritakan Imam Ibnu Al-'Arabiy atau Ibnu 'Arabiy yang Syeikh Sufi tu atau lebih dikenali dengan Imam Muhyuddin Ibnul 'Arabiy. Tidak ada masaalah sekiranya sekejap beliau digelar sebagai IBNU 'ARABIY kemudian IBNU AL-'ARABIY pula kerana kedua-duanya adalah gelaran bagi beliau.


HULUL DAN ITTIHAD BUKAN AQIDAH IMAM IBNU AL-'ARABIY @ 'ARABIY
Akidah Hulul adalah akidah sesat yang mendakwa zat Allah berada didalam diri makhluk dan makhluk berada didalam diri Allah. Akidah Ittihad pula adalah akidah sesat yang mendakwa semua yang ada ini makhluk dan Allah adalah bersatu antara satu sama lain. Kedua-duanya lebih kurang sama dan sesat.

Manakala tuduhan akidah hulul, ittihad dan pelbagai lagi akidah batil terhadap Imam Ibnul 'Arabiy adalah satu fitnah yang membawa kepada pentakfiran antara satu sama lain dan fitnah yang besar sehingga ke hari ini. Ramai yang keliru termasuk beberapa para pengkaji dan ini penjelasan ringkas saya (Abu Syafiq) atas segala kekeliruan itu :

* Kebanyakan isi kandungan kitab-kitab Imam Ibnu Al-'Arabiy sebenarnya telah ditokok tambah dengan pengisian yang terpesong dari ajaran Islam sebenar. Ia bukanlah tulisan Imam Ibnul 'Arabiy bahkan beliau berlepas tangan dari segala itu.

Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya'roniy berkata dalam kitabnya berjudul Al-Yawaqit Wal Jawahir Fi 'Aqoidil Akabir m/s 9:
" Segala isi kandungan kitab Ibnul 'Arabiy yang bertentangan dengan syariat Islam dan bertentangan dengan jumhur ulama maka ketahuilah bahawa ianya adalah palsu, dusta dan ditokok-tambah oleh musuh-musuh Islam. Syeikh Sayyidy Abu At-Tohir Al-Maghribiy di Mekah juga telah memberitahu aku sedemikian dan beliau membawa kepada aku naskhah asal kitab Imam Ibnul 'Arabiy yang berjudul Al-Futuhaat Al-Makkiyah yang diterima dari naskhah asal di Madinah Quniyyah maka aku dapati isi kandungannya tidak langsung terdapat akidah yang pernah aku lihat (hulul dan ittihad) dan ianya selari dengan apa yang aku telah ringkaskan dari kitab Al-Futuhaat ".

Bagaimana Imam Ibnu Al-'Arabiy dikatakan berakidah Hulul atau Ittihad sedangkan beliau sendiri terkenal menolak akidah tersebut dan akidah-akidah batil yang lain dan beliau terkenal sebagai seorang yang menyebut kenyataan menolak kedua akidah batil tersebut dengan :
من قال بالحلول فدينه معلول، وما قال بالاتحاد إلا أهل الإلحاد

Maksud kenyataan Ibnu Al-'Arabiy tadi :
"Sesiapa yang berakidah Hulul maka agamanya terpesong, dan tidak berakidah Ittihad melainkan orang itu mulhid".
Rujuk kitab Al-Futuhaat AL-Makkiyah pada Bab Al-Asrar dan pada Bab Yang Ke 559 yang telah dinyatakan oleh Asy-Sya'roniy.
Amat jelas Imam Muhyiddin Ibnu Al-'Arabiy menolak akidah Hulul dan Ittihad.

Maka segala fitnah terhadap beliau atas tuduhan berakidah Hulul dan Ittihad hendaklah dihentikan dan perlu dibezakan antara As-Sufi Imam Muhyiddin Ibnul 'Arabiy dengan golongan yang mengaku sufi ataupun yang mengaku pengikut Imam Ibnu 'Arabiy tetapi hakikatnya sufi dan Ibnu 'Arabiy amat jauh dengan mereka.


DAKWAAN KUFUR TERHADAP IBNU AL-'ARABIY
Sememangnya ada beberapa insan yang mengkafirkan Imam Ibnu Al-'Arabiy ini atas salah anggap tulisan terpapar yang dibaca.
Pelik juga pentakfiran terhadap Imam Ibnul 'Arabiy tidak terkenal berlaku pada zaman beliau tetapi selepas puluhan tahun kematian beliau. Berbeza dengan keadaan Ibnu Taimiyah yang mana ulama Islam menghukum Ibnu Taimiah sebagai kafir terkeluar dari akidah islam adalah dari kalangan ulama Islam yang hidup dizaman Ibnu Taimiyah sendiri bahkan para tuan kadi dari keempat-empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) telah menghukum kufur terhadap Ibnu Taimiyah dizaman Ibnu Taimiah sendiri.

Ini juga menunjukkan penghukuman kufur/sesat terhadap Imam Ibnu 'Arabiy oleh sebahagian insan adalah tidak berbukti yang tepat, hanya sekadar melihat pada buku yang telahpun dicetak yang sememangnya telahpun ditokok-tambah oleh musuh Islam sedangkan naskhah asal kitab Imam Ibnu 'Arabiy tidak tertera akidah sesat tersebut.

Lihat sahaja bagaimana mereka mengkafirkan Imam Ibnu 'Arabiy atas dakwaan kononnya Ibnu 'Arabiy berakidah manusia itu Tuhan Tuhan juga adalah manusia lantas menuduh Ibnu 'Arabiy berkata "hamba itu adalah Tuhan" sedangkan apabila kita melihat naskah kitab asal beliau terdapat ayat yang amat berlainan pada syi'ir yang didakwa.


DAN SAYA (ABU SYAFIQ) TINGGALKAN KEPADA PEMBACA SEBAGAI BUKTI IMAM INI DIFITNAH...


DIBAWAH INI ADALAH TULISAN TANGAN NASKHAH ASAL KITAB IMAM IBNU 'ARABIY BERJUDUL AL-FUTUHAAT AL-MAKKIYAH IAITU:

الرب حق و العبد حق فياليت شعرى من المكلف
إن قلت عبد فذاك ميت أو قلت رب أنى يكلف
Bermaksud: "Tuhan itu benar (wujud) dan hamba juga wujud, Sekiranya dikatakan hamba maka pastinya akan mati dan pabila dikatakan Tuhan maka tidak mungkin Tuhan itu dipertanggungjawabkan".

Manakala tuduhan terhadap beliau telah dipalsukan isu kandungan kitabnya oleh sebahagian pengaku Salaf dengan dakwaan kononnya Ibnu 'Arabi mendakwa:

الرب رب و العبد رب ... إن قلت عبد فذاك حق
Tuduhan bermaksud: Tuhan itu adalah Tuhan dan hamba adalah Tuhan, sekiranya dikatakan kedua-duanya hamba maka ia benar".

Demikian kenyataan palsu golongan pengaku Salaf terhadap Ibnu 'Arabiy dan ini buktinya tuduhan itu adalah palsu:



Perhatikan pada perenggan yang ke 14&15 amat bercanggah dengan dakwan golongan yang mengkafirkan Imam Ibnu 'Arabiy


Semoga Allah merahmati para ulama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sejati. Kaji dan renung-renunglah.....


Disediakan oleh: Ustaz Abu Syafiq (012-28505578)

Friday, October 10, 2008

Sejarah Yahudi merampas Palestin..Umat Islam perlu buka sejarah



'Nakbah' bermula era rejim Yahudi

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.

Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar.

Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah.

Antaranya peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di Palestin.

Pengisytiharan itu telah digelar 'Ominous Declaration' (Pengisytiharan Celaka).

Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut.

Antaranya, dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan.

Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin, malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun, sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917 M).

Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948.

Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.

Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana.

Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.

Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).

Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah.

Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.

Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin.

Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama.


Najib ‘Afif Arip masih menuntut di peringkat ijazah Pendidikan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tuesday, September 30, 2008

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi


Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi


KITAB Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.


ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

sumber:http://utusan.com.my

Sunday, September 28, 2008

Sejarah PASTI Malaysia

Sejarah PASTI Malaysia

Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan pra sekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat pra sekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.
Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.

Seminar PASTI
Pada 29- 30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang, Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu "Struktur Organisasi dan Penyelarasan Pendidikan Prasekolah" oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan "Penyelarasan Manhaj Pendidikan Prasekolah' oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama Sdra. Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Sdra. Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan Sdra. Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Logo
Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.
PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan pertambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sunday, September 14, 2008

Garis masa Kesultanan Kedah


  • 1136: Sultan Al-Mudzafar Shah I (1136 - 1179)
  • 1179: Sultan Mu'adzam Shah (1179 - 1202)
  • 1202: Sultan Muhammad Shah (1202 - 1236)
  • 1236: Sultan Muzzil Shah (1236 - 1280)
  • 1280: Sultan Mahmud Shah (1280 - 1321)
  • 1321: Sultan Ibrahim Shah (1321 - 1373)
  • 1373: Sultan Sulaiman Shah I (1373 - 1423)
  • 1423: Sultan Ataullah Muhammad Shah I (1423 - 1473)
  • 1473: Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah I (1473 - 1506)
  • 1506: Sultan Mahmud Shah II (1506 - 1547)
  • 1547: Sultan Mudzaffar Shah II (1547 - 1602)
  • 1602: Sultan Sulaiman Shah II (1602 - 1626)
  • 1626: Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626 - 1652)
  • 1652: Sultan Muhyiddin Mansor Shah (1652 - 1662)
  • 1662: Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I (1662 - 1688)
  • 1688: Sultan Ataullah Muhammad Shah II (1688 - 1698)
  • 1698: Sultan Abdullah Mu'adzam Shah I (1698 - 1706)
  • 1706: Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706 - 1710)
  • 1710: Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II (1710 - 1778)
  • 1778: Sultan Abdullah Mukarram Shah II (1778 - 1797)
  • 1797: Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (1797 - 1804)
  • 1804: Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804 - 1845)
  • 1845: Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah I (1845 - 1854)
  • 1854: Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah II (1854 - 1879)
  • 1879: Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah I (1879 - 1881)
  • 1882: Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 - 1943)
  • 1943: Sultan Badlishah (1943 - 1958)
  • 1958: Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah (1958 -)

Saturday, September 13, 2008

Sebahagian Sahabat yang Terkenal

Beberapa Sahabat yang Terkenal
* Abu Bakar
* Umar bin Khattab
* Usman bin Affan
* Ali bin Abi Talib
* Abdurrahman bin Auf
* Abdullah ibn Umar
* Abu Dzar Al-Ghiffari
* Abu Hurairah
* AlQamah
* Hamzah bin Abdul Muthalib
* Ubaidah bin Jarrah
* Bilal bin Rabah
* Khalid bin Walid
* Mua'dz bin Jabal
* Mua'wiyah bin Abu Sufyan
* Sa'ad bin Abi Waqqas
* Sa'id bin Zayd bin `Amr
* Usamah bin Zaid bin Haritsah
* Talhah
* Uwais Al-Qarny
* Wahsyi
* Zubair bin Awwam

PARA SAHABAT YANG ISLAM DIMAKKAH SEBELUM HIJRAH

Para sahabat yang masuk Islam di Mekkah, sebelum melakukan hijrah, seperti Khulafa'ur Rasyidin

1. Khadijah binti Khuwailid

2. Ali bin Abi Thalib

3. Zaid bin Haritsah

4. Abu Bakar ash-Shiddiq

5. Umar bin Khattab

6. Utsman bin Affan

7. Abbas bin Abdul Muthalib

8. Hamzah bin Abdul Muthalib

9. Ja'far bin Abi Thalib

2. Para sahabat yang mengikuti majelis Darunnadwah

3. Para sahabat yang ikut serta berhijrah ke negeri Habasyah

4. Para sahabat yang ikut serta pada bai'at Aqabah pertama

5. Para sahabat yang ikut serta pada bai'at Aqabah kedua

6. Para sahabat yang berhijrah setelah sampainya Rasulullah ke Madinah

7. Para sahabat yang ikut serta pada perang Badar

8. Para sahabat yang berhijrah antara perang Badar dan perjanjian Hudaibiyyah

9. Para sahabat yang ikut serta pada bai'at Ridhwan

10. Para sahabat yang berhijrah antara perjanjian Hudaibiyyah dan fathu Makkah

1. Khalid bin Walid

2. Amru bin Ash

11. Para sahabat yang masuk Islam pada fathu Makkah,

1. Abu Sufyan bin Umayyah

2. Mu'awiyah bin Abu Sufyan

12. Bayi-bayi dan anak-anak yang pernah melihat Rasulullah saw pada fathu Makkah

KERASULAN




"Dan ketika 'Isa anak Maryam berkata : Hai Bani Israil! Sesungguhnya aku ini utusan Allah untukmu, membenarkan wahyu yang diturunkan sebelum aku, iaitu Taurat, dan menyampaikan berita gembira akan kedatangan seorang Rasul selepasku, namanya Ahmad, tetapi setelah Rasul itu datang kepada mereka dengan bukti yang nyata, mereka berkata : Inilah tukang sihir yang nyata."

as-Saff : 6



Kerasulan 1

9 Rabi'ul Awwal Kerasulan - peristiwa di Gua Hira' (al-'Alaq : 1 - 3)
Wahyu kedua (al-Muddaththir : 1-5)
Permulaan da'wah secara rahsia

Kerasulan 2

Da'wah secara rahsia

Kerasulan 3

Penghujung tahun Pengisytiharan umum kerasulan di Bukit Safa

Kerasulan 4

Propaganda, cemuhan dan tentangan ringan
Perdebatan para pemimpin Quraisy dengan Rasulullah SAW
Pertemuan para pemimpin Quraisy dengan Abu Thalib
Jaminan perlindungan oleh Bani Hasyim

Kerasulan 5

Penentangan dan penindasan semakin hebat
Penyeksaan ke atas para sahabat
Rajab Hijrah ke Habsyah

Kerasulan 6

Penentangan dan penindasan semakin hebat
'Utbah bin Rabi'ah bertemu Rasulullah SAW untuk berunding
Tawaran musyrikin Makkah (nuzulnya surah al-Kafirun)
Pengislaman Saidina Hamzah
Pengislaman Saidina Umar al-Khattab
Kafir Quraisy sebulat suara untuk membunuh Rasulullah SAW
Hijrah ke Habsyah kali kedua

Kerasulan 7

1 Muharram Pemulauan, bersama dengan Bani Hashim dan Bani 'Abdul
Muttalib di Syi'ah Bani al-Muttalib

Kerasulan 8

Pemulauan masih berlangsung

Kerasulan 9

Penghujung tahun Berakhirnya pemulauan

Kerasulan 10

Tahun kesedihan (kematian Siti Khadijah dan Abu Thalib)
11 Jumadi Lawatan ke Thaif
Pengislaman serombongan jin
Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Siti Saudah binti Zam'ah
27 Rajab Isra' dan Mi'raj, solat 5 waktu diwajibkan
Pertunangan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina Aisyah
Zulhijjah Permulaan Islam di Madinah - Ayas bin Muaz memeluk Islam

Kerasulan 11

Pertemuan pertama dengan puak Khazraj dari Madinah di
'Aqabah semasa musim haji

Kerasulan 12

Zulhijjah Perwakilan Madinah - 6 orang menerima Islam
Bai'at ul-'Aqabah yang pertama

Kerasulan 13

Zulhijjah Bai'at ul-'Aqabah yang kedua
Para sahabat mula berhijrah ke Madinah

SEBELUM KENABIAN

"Nabi Muhammad SAW bukan bapa seorang pun di antara laki-laki di antara kamu, tetapi beliau adalah Rasulullah dan Nabi penutup, dan Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu."



al-Ahzab : 40


545 M Kelahiran 'Abdullah, bapa Rasulullah SAW

Tahun 0
Serangan Abrahah ke atas Makkah
Ibu bapa Rasulullah SAW
Perkahwinan 'Abdullah dengan Aminah
Pemergian 'Abdullah ke Syam dan kewafatan
Tahun 1
Kelahiran Rasulullah SAW (571 M)
Disusukan oleh Halimah binti Abi Zu'aib di perkampungan bani Sa'ad
Tahun 5
Rasulullah SAW dibedah perut oleh Jibril AS
Tahun 6
Kewafatan ibu Rasulullah SAW - Rasulullah SAW dijaga oleh 'Abdul Muttalib
Tahun 8
Kewafatan datuk Rasulullah, Abdul Muttalib
Tahun 12
Perjalanan ke Syria (Syam) bersama Abu Talib, pertemuan dengan
Buhaira' di Basra
Tahun 15
Terlibat dalam peperangan Fijar
Tahun 20
Terlibat dengan Hilful Fuzul (gerakan membela golongan tertindas)
Tahun 23
Perjalanan ke Syria (Syam) kali ke 2 untuk berniaga
Tahun 25
Perkahwinan dengan Sayyidatina Khadijah
Tahun 33
Rahsia-rahsia ghaib mula muncul
Tahun 35
Pengadilan perletakan Hajarul Aswad
Tahun 40
Sering berkhalwat di Gua Hira' untuk beribadat dan bertafakur

Biodata ringkas Rasulullah SAW.



Namanya: Muhammad bin Abdullah
Nama ibunya : Siti Aminah binti Wahab
Nama Bapanya : Abdullah bin Abdul Mutallib

Nama Isteri-isteri Baginda:
1. Siti Khadijah binti Khuwailid
2. Saudah binti Zam’ah
3. Siti Aisyah binti Abu Bakar
4. Habsah binti Umar
5. Zainab binti Khuzaimah
6. Ummu Salamah
7. Ummu Habibah binti Abu Sufyan
8. Juwairiah
9. Sofiyah binti Huyey
10. Zainab binti Zahsyi
11. Raihanah

Nama anak-anak baginda:
1. Zainab
2. Ruqayyah
3. Ummu Kalsom
4. Siti Fatimah
5. Qosim
6. Abdullah
7. Ibrahim
(Anak-anak lelaki baginda semuanya meninggal sewaktu masih kecil)

Dari perkahwinan Siti Fatimah dan Saiyidina Ali bin Abi Talib
Anak-anak mereka:
1. Sayyidina Hassan
2. Sayyidina Hussin
3. Zainab (Al Kubra)
Peribadi Agung Muhammad SAW
22 03 2007

Kisah Nabi Muhammad saw.

Semasa umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka’abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya.

Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa’ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa’ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.

Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad

Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh ditemui.

Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.

Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.

Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.

“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk” (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)

Abdul Mutallib Wafat

Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam kesusahan.

Muhammad diasuh oleh Abu Talib

Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.

Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.

Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu “Al-Amin”.

Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.

Penurunan Wahyu Pertama

Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira’ dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada Muhammad.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan” (Al-’Alaq, 96: 1)

Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.

Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.

Dakwah Secara Terang-terangan

Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (Al-Hijr, 15:94)

Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:

“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya”

Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.

Kewafatan Khadijah dan Abu Talib

Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.

Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.

Penghijrahan Ke Madinah

Tekanan daripada orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas pemergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.

Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.

Negara Islam Madinah

Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar undang-undang Madinah.

Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan diakhiri dengan kemenangan.

Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.

Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah.”

Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w

Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.

Friday, September 12, 2008

Imam Malik

imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.
Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”
Insya Allah.

Imam Syafie

imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Imam Ahmad Bin Hambal

Imam Ahmad Bin Hambal
imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.

Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.

Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.

Imam Hambali berada di zaman kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad.

Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan.

Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.

Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.

Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.”

Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.

Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian.

Terhadap Imam Hambali mereka minta supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.

Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.

Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”
Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah.
Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya: “Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”

Mendengar kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima dera, sebab engkau dalam kebenaran.”

Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”

Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.

Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.

Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”

Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang ramai.

Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera sehingga pengsan.

Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.

Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan keredhaanNya.

Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan.

Firman Allah ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)